TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas menerima menghadap Tunku Ismail di Istana Pahang semalam.
Turut berangkat pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Sultan Ahmad Shah bertitah, Tunku Ismail membuat keputusan itu selepas dipujuk oleh baginda sendiri selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.
"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada hari ini kerana impian saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor akan kembali sebagai Presiden PBNJ. Jadi, saya telah menasihat- kan (Tunku Ismail) supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor," titah baginda.
Bagaimanapun, Sultan Ahmad Shah bertitah, Tunku Ismail tetap akan menjalani hukuman penggantungan dan denda yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini.
"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan itu. Jadi, tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub bertahun-tahun," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut gembira dengan pencapaian yang diraih dua pasukan di bawah PBNJ iaitu Johor Darul Takzim (Liga Super) dan Johor FA (Liga Perdana) sejak Tunku Ismail menjadi Presiden PBNJ.
Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan denda sebanyak RM18,000 oleh Jawatan- kuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.
Baginda turut dipalit dengan kontroversi selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac lalu ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa sebelum Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBNJ, 3 April lalu.
Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.
Tunku Ismail turut mengumumkan baginda akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.
Sumber
PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment