yX Media - Monetize your website traffic with us

Tuesday, 9 April 2013

PR kecewa kain rentang dicabut


SEREMBAN - Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan kain rentang iklan ceramah perdana anjuran Pakatan Rakyat (PR) di Taman AST, di sini amat mengecewakan ahli parti.

Penyandang Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin berkata, memang perbuatan tersebut tidak salah kerana mereka (PBT) sekadar menjalankan tugas mengikut undang-undang, namun biarlah dilakukan secara adil dan saksama.

“Mereka berhak menurunkan sebarang iklan atau banner yang dipasang tanpa permit, tetapi agak kurang adil apabila kain rentang milik Barisan Nasional (BN) yang dipasang betul-betul bersebelahan kita langsung tidak terusik.



“Kita amat kecewa kerana perbuatan sebegini mencerminkan seolah-olah mereka bersikap berat sebelah dan memihak kepada parti tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memasang semula kain rentang berkenaan di simpang masuk Taman AST, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, bukan sekali kain rentang tersebut diturunkan, sebaliknya sudah dua kali sejak ia mula-mula dipasang pada Jumaat lalu.

“Kita pasang kain rentang ini pada Jumaat lepas, lebih kurang jam 9 malam. Bagaimanapun, pada keesokan harinya sekitar jam 10 pagi, kita dapati ia telah pun diturun oleh PBT.

“Justeru, kita naikkan semula kain rentang tersebut, malangnya mereka sekali lagi menurunkannya kira-kira jam 9.30 pagi tadi (kelmarin),” katanya.

Menurut Kee Chin, pihaknya percaya tindakan sedemikian dilakukan dengan niat tidak baik, bertujuan agar orang ramai tidak mendapat maklumat berkaitan ceramah perdana tersebut.

“Kita tidak membuat tuduhan secara melulu berikutan ramai saksi melihat kejadian itu yang seterusnya memaklumkan kepada saya dan Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke.

“Lebih menyedihkan, masalah ini turut menimpa kain rentang di kawasan lain dan kita anggarkan daripada 50 banner dipasang, tidak sampai 10 yang masih selamat serta tidak terusik,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan mereka hanya menjalankan tugas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, dakwaan Kee Chin kononnya MPS bersikap pilih bulu dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah tidak benar, kerana tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang.




“Tidak salah jika hendak berkempen, tetapi biarlah mengikut peraturan ditetapkan. Mereka sepatutnya memaklumkan kepada kita terlebih dahulu bagi mendapatkan keizinan.

“Dalam hal ini, memandangkan mereka telah memasang kain rentang berkenaan tanpa permit yang sah, maka kita berhak mencabut atau menurunkannya tanpa sebarang prejudis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.        

Abd Halim berkata, peraturan ini bukan sahaja berkuat kuasa terhadap banner yang membabitkan isu politik, malah kepada semua jenis aktiviti.

Sumber


PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment