Jual pisang goreng di Port Dickson dapat gaji setaraf pemegang diploma

on Thursday, 27 October 2016



PORT DICKSON - Tidak memiliki sebarang sijil pelajaran yang tinggi bukan penghalang bagi seorang wanita untuk memperoleh pendapatan bulanan setaraf dengan gaji pemegang diploma.

Melalui perniagaan pisang goreng, Jumaah Alias, 26, yang meninggalkan alam persekolahan sejak berusia 16 tahun berjaya menjana pendapatan lumayan.

"Saya tidak mempunyai ijazah, diploma, Sijil Pelajaran Malaysia mahupun sijil Penilaian Menengah Rendah namun saya percaya rezeki ada di mana-mana sekiranya kita berusaha," katanya ketika ditemui Bernama di gerai jualannya di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson di sini baru-baru ini.

Jumaah yang menguruskan perniagaan itu bersendirian berkata, beliau mampu meraih pendapatan melebihi RM2,000 sebulan hasil jualan pisang goreng, cempedak goreng, keropok lekor, laksa dan nasi lemak.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata beliau berniaga setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga 6 petang di lokasi tumpuan pelancong itu

dan menggoreng pisang serta cempedak yang dijualnya mengikut citarasa pelanggan berdasarkan kemahiran memasak yang dimilikinya.  

"Pelbagai jenis perniagaan pernah saya lakukan dan banyak kali gagal untuk meneruskan perniagaan kerana tidak mampu mendapat pulangan modal dan keuntungan berikutan kurang mendapat sambutan pelanggan.

"Namun kegagalan dalam berniaga adalah perkara biasa kerana itu semua merupakan proses pembelajaran dalam bidang perniagaan," katanya yang terpaksa berpayung di bawah terik mentari setiap hari.

Jumaah berkata, bermodalkan RM500 daripada wang simpanannya untuk memulakan perniagaan itu beberapa bulan lalu dan hanya membayar sewa tapak perniagaan sebanyak RM10 sehari telah membolehkan dia memperoleh keuntungan lebih RM100 setiap hari.

"Insya-Allah kalau ada rezeki lebih saya akan membesarkan lagi perniagaan seperti ibu saya yang membuka gerai makan di Benteng Malam Bandar Port Dickson," katanya.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© AANS BLOG All Rights Reserved