yX Media - Monetize your website traffic with us

Tuesday 31 May 2016

Lagi kes kanak-kanak lemas di kolam renang hotel Teluk Kemang semasa cuti sekolah



PORT DICKSON – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan mangsa terbaharu lemas di kolam renang ketika bercuti bersama keluarganya di sebuah hotel di Telok Kemang sekitar jam 1.30 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Zainudin Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut Mohamad Ashrad Hakim Aziezi ditemui di dasar kolam renang dewasa hotel oleh orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, kanak-kanak ini bersama rombongan lima buah keluarga datang dari Tanjung Malim, Perak menginap di hotel berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati, semasa kejadian, mangsa mandi di kawasan kolam renang kanak-kanak bersama sepupunya sementara ahli keluarga yang dewasa termasuk ayahnya mandi di kolam dewasa.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu disedari hilang oleh ayahnya dan ketika mencari ada pengunjung lain yang melihat mangsa berada di dasar kolam renang dewasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Port Dickson sebentar tadi.

Zainudin berkata, kanak-kanak tersebut dikejarkan ke hospital dengan bantuan pihak hotel, walau bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik pemeriksaan diberikan di hospital.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, aspek keselamatan ketika beriadah di kolam renang terutamanya membabitkan kanak-kanak perlu dititik beratkan sama ada pihak hotel mahupun ibu bapa dan penjaga.

“Pihak hotel perlu menyediakan penjaga kolam yang cukup terutamanya pada musim cuti sekolah ataupun cuti umum kerana jumlah pengunjung yang bercuti meningkat daripada hari biasa.

"Ibu bapa penjaga juga jangan lalai terhadap tanggungjawab mereka menjaga keselamatan anak,” katanya.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment