yX Media - Monetize your website traffic with us

Wednesday 11 May 2016

Bendera ‘noghori’ di Kilimanjaro. Dunia mula pandang tinggi pada Negeri Sembilan



GEMENCHEH – Dua anak jati Negeri Sembilan berjaya mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengibarkan bendera Negeri Sembilan di atas puncak gunung tertinggi di Benua Afrika iaitu Kilimanjaro sempena Misi Climb For Peace, 29 April lalu.

Misi yang disertai sembilan individu berkenaan turut disertai dua anak jati Negeri Sembilan iaitu Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Tampin, Saiful Adly Abd Wahab dan Pengerusi MBD Jempol, Nizam Aman itu turut mempromosikan kempen 'Climb For Peace, Water For Syria' oleh Aman Palestin.

Kilimanjaro ialah gunung yang tertinggi di Afrika dengan ketinggian 5,895 meter atau 19,341 kaki di atas paras laut.

Menurut Saiful yang merupakan anak jati Gemencheh, misi hampir dua minggu berkenaan adalah di bawah Kelab Jelajah Alpine dan Puncak Ventures SRA Sdn Bhd yang dikendalikan dua jurulatih Projek Everest Felda 2013 Zainudin Lot dan Muhammad Illaham Ishak.

“Saya sangat bersyukur apabila misi ini turut merealisasikan impian saya sejak 2012 menawan puncak tertinggi di benua Afrika apabila saya terpilih untuk menjadi salah seorang peserta team XPDC Kerajaan N9 di bawah Projek D’ Kilimanjaro 2013.

“Projek berkenaan tertangguh disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, saya bangga jadi anak Negeri Sembilan dan mewakili seluruh rakyat di negeri ini bahawa anak kampung seperti kita ini mampu untuk beroleh kejayaan luar biasa selagi mempunyai semangat juang tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Meraikan Wira Kilimanjaro oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Gemencheh di Tabika Perpaduan Pekan Gemencheh, di sini, kelmarin.

Saiful berkata, kejayaan berkenaan turut didedikasikan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku pemimpin utama negeri yang telah meletakkan Negeri Sembilan di landasan tepat hasil kepimpinan dan pengurusan bijak.

Menurutnya, untuk mencapai ke salah satu dari tujuh puncak dunia bukanlah perkara mudah dan cabaran utama pendaki adalah bagi menyesuaikan diri dengan kawasan yang mempunyai tekanan altitud yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, setiap halangan dapat diatasi hasil semangat juang yang tinggi berbekal doa, sokongan dan harapan dari semua terutama rakyat di Negeri Sembilan. Misi ini bukan hanya sekadar membuktikan kemampuan pendaki bahkan bertujuan bagi mempromosikan dan menyedarkan orang ramai tentang usaha yang dijalankan bagi pembinaan telaga air di Syria.

“Kita harap orang ramai akan terus menyalurkan sumbangan kepada Aman Palestin bagi tujuan pembinaan telaga air ini. Malah, saya juga berharap supaya Misi Projek D’ Kilimanjaro 2013 yang tertangguh sebelum ini akan dapat diteruskan kembali," katanya.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment