yX Media - Monetize your website traffic with us

Saturday 30 April 2016

Harga dua kali ganda, ‘ayam terapi Quran’ bawa untung



KUALA LUMPUR, 29 April — Peniaga kini menggunakan taktik baharu menjaja nama agama untuk mengaut keuntungan apabila menjual ayam yang dibacakan ayat-ayat al-Quran, kononnya boleh membuatkan minda lebih tajam bagi individu yang memakannya.

Produk yang digelar “ayam terapi” itu dilaporkan dijual dengan harga kira-kira RM14 untuk satu kg, dua kali ganda mahal berbanding ayam biasa RM7 per kg.

Ia dijual sekitar ibu kota, selain turut dipromosikan di media sosial, mendakwa ayam mereka disahkan halal, mengikut hukum syarak dan melalui proses bacaan al-Quran, lapor akhbar Harian Metro.

“Selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, kita akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika ini, ayam berkenaan akan melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat al-Quran dan ruqyah,” kata salah seorang peniaga dilapor akhbar itu.

“Ruqyah” merupakan istilah digunakan untuk perubatan alternatif berunsur Islam, antaranya menggunakan ayat al-Quran.

Peniaga “ayam terapi” tersebut turut mendakwa bahawa elemen ruqyah ayam tersebut boleh mencegah bala dan penyakit.

“Tujuan kita adalah untuk menyelesaikan masalah umat Islam yang sering berdepan dengan unsur syubhah dalam pemakanan dan kita cuba membantu dengan cara yang lebih Islamik,” tambah peniaga.

Menurut laporan itu, ayam tersebut juga akan menggunakan bahan makanan terkawal dan tidak mengandungi sisa haiwan lain.

Selepas ayam disembelih dengan “semula jadi”, organ dalamannya akan diasingkan sebelum ayam dicelur untuk proses pembersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, kaedah penjualan itu diputuskan sebagai salah selepas dibincangkan beberapa kali dalam siri muzakarah dan forum.

“Tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam.

“Keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak yang mengambil kesempatan,” katanya dilapor akhbar itu lagi.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment