KISAH percintaan antara aktres jelita Rozita Che Wan, 42, dan pelakon Zain Saidin, 29, bukan lagi rahsia. Rata-rata peminat dan penggiat industri hiburan tempatan seolah-olah memberi restu kepada hubungan mereka berdua meskipun jurang usia yang begitu ketara.
Tidak lagi menyembunyikan kisah cinta bahkan, sebelum ini timbul desas-desus kononnya mereka akan bernikah pada bulan Julai depan menandakan hubungan mereka begitu serius.
Bagaimanapun mereka menafikan akan bernikah pada bulan Julai, sebaliknya pada hujung tahun ini.
Meskipun ini merupakan perkahwinan kedua buat ibu kepada Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15, itu, namun disebabkan dia bakal berkahwin dengan Zain yang masih bujang, sudah pasti pelbagai impian perkahwinan sudah dirancang.
“Saya tidak boleh cakap apa-apa kerana perkahwinan kami akan berlangsung pada hujung tahun. Selepas raya, saya akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan perkahwinan. Ketika itu, boleh tanya apa sahaja.
“Jika tanya sekarang, saya sendiri pun tidak boleh beri jawapan kerana semuanya masih kabur seperti tarikh, lokasi dan tema perkahwinan,” katanya yang turut memberitahu sudah banyak pihak datang merisik untuk membuat penajaan pada hari bahagianya itu.
Disoal lagi, adakah perkahwinan antaranya dan Zain pasti akan berlaku pada tahun ini, dalam tawa, Rozita atau mesra disapa dengan nama Che Ta memberitahu, dia pasti akan berkahwin pada tahun ini juga.
“Memanglah saya akan kahwin tahun ini juga sebab tahun depan umur saya sudah bertambah. Kalau boleh lagi cepat lagi bagus, tetapi jadual masing-masing sibuk jadi kami harus merancang dengan teliti,” ujarnya.
Sesiapa yang mengenali wanita ini sudah pasti tahu akan selera fesyennya yang gemar menyarung gaun meleret dan dihiasi segala macam aksesori. Ditebak apakah impian tema perkahwinannya nanti, Che Ta memberitahu, sebolehnya dia mahu bersederhana.
“Kalau boleh saya mahu buat majlis akad nikah yang ringkas sahaja, tetapi saya akan berkahwin dengan lelaki bujang, maka tidak bolehlah buat begitu. Pasti keluarga Zain juga mempunyai impian dan perancangan mereka yang tersendiri.
“Sejujurnya, saya suka yang ringkas, tetapi segala tema nampaknya Zain yang terlebih rancang. Zain mahu tema perkahwinan dalam taman, jadi saya ikut sahaja kerana ini pengalaman pertamanya. Saya juga harus menghormatinya dan biarkan dia menikmati proses perkahwinan sama seperti orang lain,” jawabnya.
Sungguhpun perkahwinan yang bakal berlangsung merupakan perkahwinan keduanya, akui Che Ta, dia tetap berasa debaran untuk bergelar raja sehari.
“Tipulah kalau saya kata tidak berdebar dan gementar. Sesiapapun yang ingin berkahwin, tidak kira perkahwinan pertama atau kedua, pasti merasai perasaan yang sama,” tuturnya yang akan mengadakan majlis perkahwinannya di Kuala Lumpur bagi memudahkan rakan artis dan pihak media hadir.
Sementara itu, Che Ta yang kini sibuk dengan penggambaran program Master Chef Selebriti musim kedua juga menjawab isu tentang penutupan laman sosial Instagram Zain baru-baru ini berikutan ramai pihak yang mengutuk gambar seksinya.
“Baik sungguh dia (ketawa). Dia ada cakap yang dia sakit hati melihat komen-komen orang yang mengutuk saya sebab dia yang baca. Saya tidak baca komen-komen itu jadi saya tidak rasa apa-apa.
“Apapun itu keputusan dia sendiri bukan saya yang paksa atau suruh. Dia seorang lelaki yang sangat pelindung, itu yang menyebabkan saya suka kepadanya,” jawabnya.
Selain itu, pengacara program Primadona itu turut disoal tentang pakaian yang dipilih pada Majlis Anugerah Bintang Popular.
Ramai yang melihat gaun tersebut seksi, namun Rozita menganggap ia tidak seksi.
“Seksikah? Saya rasa biasa sahaja tidaklah terlalu seksi. Apapun inilah diri saya. Bagi saya pakaian rekaan Hatta Dolmat ini cukup cantik,” ujarnya yang menyarungkan dua busana pereka tersebut.
Sumber
PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment