yX Media - Monetize your website traffic with us

Tuesday, 2 April 2013

PERANG NANING (1831-1832): Benarkah Orang Rembau Pembelot?

Perang Naning telah meletus antara tahun 1831 hingga 1832 di antara Angkatan Naning dan tentera Kompeni Inggeris. Ia telah tercetus sebanyak dua kali. Kali pertama ianya telah dimenangi oleh Angkatan Naning yang di bantu oleh Yamtuan Muda Rembau, Raja Ali dan menantunya Sayyid Shaaban. Namun peperangan kali kedua, Angkatan Naning telah ditewaskan oleh Kompeni inggeris dan Angkatan Naning yang di ketuai oleh Pemerintah Naning bernama Penghulu Abd Said atau Dholl Said telah berundur ke Seri Menanti di mana akhirnya beliau menyerahkan diri kepada Kompeni Inggeris. Tercatat dalam banyak buku sejarah bahawa kekalahan Angkatan Naning berpunca akibat pembelotan orang-orang Rembau dan yang mendukacitakan Angkatan Naning mungkin akan dapat menewaskan Kompeni Inggeris buat kali kedua jika Sayyid Shaaban iaitu menantu kepada Yam Tuan Muda Rembau tidak memberitahu Kompeni Inggeris rahsia pertahanan Angkatan Naning.

Persoalannya benarkah orang Rembau adalah pengkhianat kepada bangsa sendiri sehingga tercetus kata nista yang ditujukan kepada orang Rembau “ Rambau seRambaunya, Pakung seadonya”.......

Bagi memahami persoalan ini, beberapa kisah sejarah perlu difahami dan mungkin setelah menelusuri lembaran-lembaran sejarah ini kita mungkin memahami mengapa dan kenapa mengenai sejarah Perang Naning.


Ilustrasi Dholl Said bersama pembesarnya

Naning dan Inggeris

Naning adalah sebuah mukim atau daerah yang dibuka oleh orang Minangkabau dalam kurun ke 15. Dikisahkan orang-orang Minangkabau yang mudik ke Sungai Linggi telah pergi membuka kawasan Naning , bernikah kahwin dengan penduduk asli di sana dan akhirnya wujudlah sebuah “nagari” yang di namakan Naning. Naning juga adalah antara “nagari” terawal yang menjadi anggota gabungan “Nagari Sembilan” yang  bermuafakat untuk menjemput Raja dari Pagar Ruyong, Sumatera bagi menjadi Raja kepada “Nagari Sembilan”.

Sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka, Naning adalah kawasan naungan Kerajaan Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Naning bersama nagari-nagari lain telah turut “bertali ke Johor” dan memperakui kedaulatan dan kekuasaan Sultan Johor ke atas Naning. Namun setelah Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 1641, Naning telah berbaik-baik dengan pihak Belanda dan sebagai tanda persahabatan Penghulu Naning telah bersetuju menyerahkan satu persepuluh dari hasil padi dan tanaman di kawasan Naning kepada Belanda di Melaka. Ini dibuat memandangkan kekuasaan Sultan Johor yang kian lemah. Sebagai balasan kepada pemberian Naning ini, Belanda telah mengiktirafkan Naning sebuah negeri yang bebas dan mempunyai pemerintahnya sendiri.

Ketika tentera Napoleon menakluki Eropah, Kompeni Hindia Timor Inggeris telah mengambil alih pentadbiran Melaka dari Belanda buat sementara waktu bagi membolehkan Belanda fokus kepada peperangan melawan tentera Napoleon. Pada masa itu Naning diperintah oleh Penghulu Abd Said atau dikenli sebagai Dholl Said yang mengambil alih jawatan Penghulu dari Penghulu Anjak. Sejarah awal tentang perhubungan antara Naning dan Inggeris boleh dilihat melalui termeterainya Perjanjian Naning pada tanggal 16-7-1801. Perjanjian sebanyak 12 Bab ini di tandatangani oleh Lt. Col. Aldwell Taylor bagi pihak Kompeni Inggeris dan Dholl Said bersama Dato’- Dato’ Lembaganya bagi pihak Naning.

Di sinilah titik tolak bermulanya persengketaan antara Inggeris dan Naning. Dholl Said dan Dato’-Dato’ Lembaganya telah gagal membaca muslihat Inggeris dalam usaha Inggeris untuk mengawal Naning. Dholl Said dan Dato’-Dato’ Lembaganya memikirkan bahawa Inggeris hanya meneruskan hubungan seperti Belanda dan Naning yang terdahulu tetapi jelas dalam Bab 1 Perjanjian itu tercatat :-

“Captain tersebut atau Penghulu atau Menteri-Menteri dan Dato’-Dato’ Lembaga berjanji dan bersumpah dalam Naning dan bagi pihak kesemua kaum Nning supaya taat dan jujur kepada Yang Berhormat Gabenor dalam majlis Mesyuarat, Fort St George dan begitu juga kepada Gabenor dan Pemerintah,Pekan dan Kota ini dan segala pemerintah –pemerintah yang ada sekarang atau dilantik oleh mereka dan lagi akan menumpukan taat setia nya dalam segala perkara kepada Pihak Yang Berkuasa British sebagimana yang termesti di hantar dengan sedikit pun tidak boleh cuba membantah atu melawan Gabenor tersebut sama ada secara lngsung atau tidak langsung dan Bab-bab yang berikut hendaklah dipatuhi dan lain-lain Perjanjian yang telah diluluskan dengan negara lain yang menyentuh Brittish hendaklah di batalkan”

Manakala Bab 2 Perjanjian tersebut dinyatakan:-

“Jika ada sesiapa di Naning, anak-anak Minangkabau dan anak Melayu melanggar kehendak-kehendak Perjanjian ini atau pun tidak taat setia kepada Gabenor atau pegawainya , Penghulu dan Data’ Lembaga dengan perintah Gabenor hendaklah orang itu menyerahkan untuk dihukum sebagaimana sepatutnya”

Manakala Bab 3 Perjanjian tersebut turut menyatakan Penghulu, Dato-Dato Lembaga dan semua rakyat Naning hendaklah menyerahkan satu persepuluh daripada keluaran hasil padi dan hasil buah-buahan mereka kepada East India Company.(Kompeni Inggeris)

Perjanjian ini tidak disebutkan tempoh masa. Jelas dari terma Perjanjian ini bahawa ini adalah Perjanjian taat setia Naning kepada Inggeris. Inilah kesilapan Dholl Said kerana tidak memahami Perjanjian dan muslihat Inggeris walaupun pada masa itu tiada pihak yang memaksa beliau dan Dato’-Dato’ Lembaganya untuk menandatangani Perjanjian tersebut.Melalui Perjanjian ini dan kesilapan yang dilakukan oleh Dholl Said dan Dato’-Dato’ Lembaganya , keseluruhan Naning telah terikat di bawah kekuasaan dengan percaturan pihak Inggeris.

Setelah Perjanjian Inggeris -Belanda 1824, Inggeris telah mengambil alih kuasa ke atas Melaka secara mutlak. Bermula dari tahun tersebut Dholl Said mula merasa bahang dari Perjanjian tersebut. Dholl Said merasakan kuasanya sebagai pemerintah telah dibataskan hingga menyelesikan kes bunuh di nagari sendiri hendaklah dirujuk kepada Inggeris.Inggeris terus menerus berpegang kepada Perjanjian Naning 1801 termasuk menuntut satu persepuluh dari hasil tanaman kawasan Naning .Akhirnya Dholl Said bertindak melanggar Perjanjian tersebut.

Inggeris menggunakan alasan pelanggaran Perjanjian tersebut untuk mensabitkan Dholl Said sebagai penderhaka kepada Kerajaan inggeris. Inggeris pada 6-8-1831 telah menghantar 150 orang askar sepoi yang diketuai oleh Kapten Wylie untuk menangkap Dholl Said.Maka dengan itu tercetuslah Perang Naning yang pertama.

Yam Tuan Muda Rembau dan Sayyid Shaaban bin Sayyid ibrahim al Qadri

Pada asalnya tidak ada jawatan bergelar Yam Tuan Muda di Rembau. Rembau adalah sebuah nagari yang diperintah oleh Undang dari Suku Biduanda Jawa dan Suku Biduanda Jakun bergilir-gilir. Namun pada tahun 1795 Undang Rembau ke 10 dari Suku Biduanda Jawa, Dato Pekak telah terpecat angkara Ketua Waris Suku Biduanda Jakun bernama Kusil. Kusil kemudiannya mengisytiharkan diri beliau sendiri sebagai Undang Rembau ke 11. Cara beliau memecat Dato Pekak dan mengisytiharkan diri sebagai Dato Undang adalah tidak mengikut peraturan dan mendapat bantahan dari waris yang lain.Dato Kusil kemudiannya telah menabalkan seorang anak raja bernama Raja Asil bin Raja Adil selaku Yam Tuan Muda Rembau bagi mengukuhkan kedudukannya di Rembau. Sejak itu wujudlah jawatan yang digelar Yam Tuan Muda di Rembau.

Pada tahun 1812, Rembau diperintah oleh Dato Undang Bogok dari suku Biduanda Jawa.Pada masa itu Yam Tuan Muda Riau Raja Haji bin Daeng Celak telah datang ke Rembau dan akhirnya melarikan anak gadis Dato Undang Bogok. Dato Undang Bogok naik mrh dan memerangi Raja Haji dengan di bantu oleh Raja Ali dan Jeragan Abd Rahman iaitu Dato Muda Linggi ketika itu.Yam Tuan Muda Rembau menyebelahi Raja Haji. Dalam peperangn Rembau dan Raja Haji, Rembau telah menang dan Raja Asil telah melarikan diri ke Melaka untuk perlindungan. Jawatan Yam Tuan Muda Rembau yang ditinggalkan oleh Raja Asil di berikan kepada Raja Ali seorang keturunan Bugis yang cukup bijak mengambil peluang (opportunist). Kedudukan Raja Ali ini diperkuatkan dengan kehadirian menantunya Sayyid Shaaban Sayyid Ibrahim Al Qadri yang berketurunan Arab. Sayyid Shaaban mudah mendapat pengaruh kerana berketurunan Sayyid yang mana orang ramai menyangka beliau dari keturunan Nabi.

Di sini jelas dapat dilihat bahawa Yam Tuan Muda Rembau bukanlah disandang dari waris dan suku pemerintah Rembau tetapi oleh orang mendatang yang mendapat peluang dari kekemelutan kuasa di Rembau. Namun Raja Haji dan menantunya Sayyid Shaaban bijak mempengaruhi orang Rembau dan memperluaskan pengaruhnya di Rembau seolah-olah beliau adalah pemerintah di Rembau.Ini jelas dilihat dari permeteraian Triti Rumbowe (Rembau) pada 5-6-1819 dengan pihak Belanda yang mengiktiraf Raja Ali sebagai pemerintah Rembau.

Dholl Said juga turut melakukan kesilapan meminta pertolongan Raja Ali ketika Perang Naning kerana Raja Ali adalah seorang opportunis. Apabila Inggeris menghidu karektor opprtunis ini, setelah tewas dalam Perang Naning pertama, Inggeris telah berbaik dengan Raja Ali dan ini jelas dapat dilihat melalui Triti Persahabatan Rumbowe (Rembau) pada 30-11-1831 antara Inggeris dan Raja Ali.




Dalam Perang Naning pertama Raja Ali melalui menantunya Sayyid Syaaban telah memberi bantuan kepd Dholl Said dan membantu Dholl Said memenangi peperangan pertama tersebut. Tetapi dalam peperangan kali kedua Raja Ali yng berketurunan Bugis ini telah membelakangi Dholl Said dan yng lebih mendukacitakan Sayyid Shaaban telah memberitahu kepada Inggeris kawasan kubu Angkatan Naning dan memecahkan rahsia ilmu pasak yang dipasang oleh Angkatan Naning iaitu dengan menaburkan tulang babi dan anjing di kawasan – kawasan pertahanan Angkatan Naning.

Oleh kerana jasa Sayyid Shaaban tersebut melalui Triti Rumbowe (Rembau) 1832 antara Inggeris dan Raja Ali dan Sayyid Shaaban, Sayyid Shaaban di berikan suatu kawasan di hujung nagari Rembau bagi dirinya. Kawasan tersebut kini dikenali sebagai Tampin.

Adakah orang Rembau mengkhianati Dholl Said?

Pemerintah Rembau yang sebenarnya iaitu Dato Undang Rembau tidak pernah terlibat dalam peperangan Naning. Ini adalah semuanya hasil dari percaturan Raja Ali dengan dibantu oleh menantunya Sayyid Shaaban. Dua karektor “ orang mendatang” yang mendapat kuasa akibat kemelut kuasa dan yang pandai mengambil peluang dari kekemelutan tersebut.

Dikisahkan oleh sejarah , Raja Ali yang merasakan dirinya amat berkuasa telah pada 1834 menabalkan dirinya sendiri sebagai Yam Tuan Besar Negeri Sembilan dan melantik anak menantunya sebagai Yam Tuan Muda Rembau. Tindakan tersebut telah menaikkan kemarahan Undang Rembau dan Undang-Undang yang lain seperti Sungai Ujong. Undang-Undang Luak telah bersatu memerangi Raja Ali dan Sayyid Shaaban yang akhirnya terusir ke Lukut dn Sayyid Shaaban lari ke Tampin. Sayyid Shaaban akhirnya tinggal di Tampin dan menggelarkan dirinya Yam Tuan Tampin . Disana bermulanya salasilah Tunku Besar Tampin. Raja Ali kemudian telah kembali ke Tampin untuk bersama anak menantunya dan akhirnya mangkat di Keru pada 1850.

Dari kisah ini dapat difahami tentang agenda Raja Ali adalah untuk kepentingan diri sendiri semata-mata dan bukannya khalayak rakyat Rembau yang menjadi petualang dan pengkhianat bangsa. Niat Raja Ali mahu menjadi Yam Tuan Besar Negeri Sembilan jelas menunjukkan bahawa beliau sanggup melakukan apa sahaja bgi mencapaikan hajatnya termasuklah mengkhianati rakan serta sahabat sendiri.

Oleh itu setelah sekian lama terpahat dalam lembaran sejarah bahawa Orang Rembau adalah pengkhianat. Adakah mungkin persepsi ini boleh berubah sekiranya sejarah tersebut di sampaikan dengan sudut yang berbeza. Adakah berpunca dari kesilapan pemimpin Naning sendiri ,orang Rembau dipersalahkan. Adakah disebabkan kerakusan mengejar kuasa oleh orang mendatang membuatkan Orang Rembau sejak sekian lama dikatakan pengkhianat bangsa? Fikir-fikirkn lah

Analisa Teladan dari Sejarah

Dari sudut-sudut lembaran Sejarah ini dapat dilihat Perang Naning sebagai suatu contoh peristiwa yang berlaku akibat dari kesilapan Pemerintah tersebut sendiri yang gagal secara bijak dan berhemah dalam mengesan muslihat musuh yang akhirnya membuatkan Negeri sendiri tergadai.

Ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan dalam kemelut perebutan kuasa atau perpecahan sekiranya berlaku.

Pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri menyebabkan diri boleh dibeli dan boleh mengorbankan serta mengkhianati bangsa sendiri.

Olahan oleh Kelab Melayu Negeri Sembilan rujukan kepada susunan sejarah oleh Allahyrham Tan Sri Samad Idris

Sumber                                                  

Share:

0 comments:

Post a Comment