Nama sebenar beliau Kahar bin Haji Mukmin, lahir di Kampung Repah kemudian berpindah ke Seri Menanti. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap.
Menurut ceritanya, suatu ketika dulu memang wujud seekor Siamang yang gagap bila berbunyi. Penduduk kampung di Seri Menanti menganggap Siamang itu "keramat" kerana menjadi pelindung kepada penduduk kampung tersebut. Apabila ada musuh datang menyerang maka Siamang Gagap itu akan berbunyi sebagai tanda amaran supaya mereka bersiap sedia. Dengan itu penduduk kampung terselamat dari serangan musuh.
Setelah Siamang Gagap itu mati maka penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupa jasa seekor haiwan bernama Siamang Gagap. Dan menurut sejarahnya ada seorang lelaki mendapat gelaran Siamang Gagap daripada Yamtuan Seri Menanti kerana jasanya menyelamatkan Seri Menanti dari serangan orang-orang Rawa. Lelaki itu bernama KAHAR BIN HAJI MUKMIN. Dan sejak itu beliau di kenali dengan nama "PENDEKAR SIAMANG GAGAP'.
Kahar atau Datuk Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah tidak jauh dari pekan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Pada mulanya Kahar berguru kepada TOK KALI SINGA seorang alim dalam ilmu agama. Kemudian dia ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Dan seterusnya Kahar merantau ke tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya. Dan setelah penuh ilmu di dada barulah dia kembali ke kampung halamannya.
Kahar tidak kedekut dengan ilmu yang ada. Dia mengajar ilmu agama dan ilmu persilatan kepada anak-anak muda di kampngnya. Dia juga bercita-cita menjadi pembesar istana. Dan untuk mencapai cita-citanya Kahar mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti.
Sikap Kahar yang peramah amat disenangi oleh orang-orang kampung dan ilmunya yang tinggi menjadikan dia dihormati. Dan ketika itu Seri Menanti terkenal kerana pengeluaran hasil padi yang banyak serta rakyatnya yang hidup aman damai.
Orang-orang Rawa yang berasal dari Indonesia merasa iri hati dengan kemakmuran Seri Menanti dan mereka cuba menaklukinya. Setiap malam orang-orang Rawa menyerang penduduk kampung serta merampas padi serta harta benda yang berharga. Mereka yang cuba melawan akan dibunuh atau dicederakan. Dan ini menimbulkan ketakutan dikalangan penduduk kampung tersebut.
Mereka cuba mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.
Akhirnya Kahar memberanikan diri mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.
Kahar menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Kahar juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan dari Minangkabau.
Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara kahar dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Kahar berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Kahar mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.
Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATUK SIAMANG GAGAP kepada Kahar dan beliau juga dilantik menjadi pembesar istana.
Sejak memegang tugas sebagai pembesar istana Datuk Siamang Gagap berjaya menjalin hubungan yang baik dengan pembesar negeri Pahang, Selangor, Johor dan Perak. Dengan adanya hubungan baik ini maka tidak berlaku peperangan antara mereka. Tetapi kedatangan Inggeris ke tanah Melayu telah merubah segalanya. Tambahan pula Inggeris mengamalkan "Pecah dan perintah" dalam usahanya menjajah negeri-negeri di tanah melayu.
Datuk Siamang Gagap yang tahu niat busuk Inggeris berjaya mempengaruhi Yamtuan supaya tidak menerima campur tangan Inggeris di Seri Menanti. Dan beliau juga berjaya menghalang Inggeris hendak mengenakan cukai di Sungai Linggi. Namun Inggeris tidak putus asa dan mereka berjaya menimbulkan perselisihan antara Dato' Klana Sungai Ujung dengan Yamtuan Seri Menanti.
Dengan bantuan Datuk Klana Sungai Ujung maka Inggeris menyerang Teraci yang terletak di bawah jajahan Yamtuan Seri Menanti. Datuk Siamang Gagap amat marah lalu meminta izin Yamtuan mempersiapkan sebuah angkatan perang untuk menentang orang-orang Inggeris.
Maka pada tahun 1875 berlakulah perang Bukit Putus antara Inggeris yang dibantu oleh Datuk Klana Sungai Ujung dengan angkatan perang Seri Menanti yang dipimpin oleh Datuk Siamang Gagap. Kerana bilangan musuh lebih ramai ditambah pula dengan senjata meriam akhirnya angkatan perang Seri Menanti kalah.
Kekalahan itu menyebabkan Inggeris berjaya campur tangan di Seri Menanti namun Datuk Siamang Gagap tidak mahu tunduk kepada Inggeris. Beliau akhirnya meninggalkan Seri Menanti untuk meneruskan perjuangan menentang Inggeris.
Ada yang mengatakan Datuk Siamang Gagap pergi ke Pahang lalu bergabung dengan Datuk Bahaman dan Mat Kilau menentang Inggeris. Tetapi ada pula mengatakan beliau pergi menunaikan haji ke Mekah dan meninggal disana.
Namun ada mengatakan beliau bersembunyi di sebuah kampong bernama Juaseh yang terletak tidak jauh dari pekan Bahau. Menurut ceritanya Datuk Siamang Gagap meninggal di sana dan ada sebuah kubur lama yang dipercayai kubur Datuk Siamang Gagap.
Setelah Datuk Siamang Gagap meninggal dunia, anak-anaknya merantau membawa diri mencari rezeki. Salah seorang anaknya mudek ke Sungai Beranang lalu menetap di kampong Sungai Ramal, Kajang.
Semasa menjejaki waris Allahyarham Leftenan Adnan, ada yang berkata Leftenan Adnan itu orang Minangkabau keturunan Datuk Siamang Gagap.
Benarkah atau Cuma andaian sahaja?.
Sumber
0 comments:
Post a Comment