yX Media - Monetize your website traffic with us

Friday 15 July 2016

Peneroka Felda Jelai kempunan duit raya



GEMAS – Bukan seorang, tetapi seramai 37 peneroka di Felda Jelai 3, di sini, kempunan untuk menerima duit raya daripada Felda tahun ini apabila nama mereka tersenarai dalam kategori tidak layak menerima duit raya.

Menurut peneroka, Mohd Mustaffa Othman, 59, dia sangat terkejut apabila melihat namanya turut ada dalam senarai yang ditampal di hadapan pejabat Felda berkenaan memandangkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, dia gagal menghantar hasil pada bulan Januari.

"Hanya satu bulan sahaja saya tak hantar hasil pada Felda iaitu pada bulan Januari kerana pada bulan berkenaan saya sudah berhabis kira-kira RM3,000 untuk meracun, membaja dan mencantas. Jadi, saya jual bukan kepada Felda kerana mahukan duit segera.

"Saya perlu berbuat demikian kerana pembayaran hasil di Felda sekarang ini setiap Khamis dan hanya dua kali dalam sebulan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Jelai 3, di sini, semalam.

Katanya, dia pernah membuat laporan polis berhubung pembayaran hasil yang dikurangkan bagi satu tan sawit ketika menghantar bekalan itu kepada Felda.

Bagaimanapun katanya, seminggu selepas laporan polis itu dibuat, dia akhirnya mendapat kembali baki bayaran bagi satu tan sawit kira-kira RM523.

"Memang pantang saya bila hak saya tak diberi, jadi bila PM (Perdana Menteri) dah umum nak bagi peneroka duit raya kenapa pula ada peneroka tak dapat. Ini merupakan kali pertama (tak dak duit raya) sejak saya menjadi peneroka di sini pada tahun 1980.

"Sebelum ini, bagi peneroka yang tak hantar hasil ke Felda, mereka dapat juga duit raya walaupun separuh.  Ini saya baru tak hantar sebulan, saya terus disenaraikan tak layak dapat duit raya," katanya.

Bagi Bahari Wahab, 76, dia antara peneroka tertua di Felda berkenaan dan sebagai warga emas, dia sememangnya sangat mengharapkan duit raya Felda memandangkan dia kini tidak mampu lagi bekerja.

Menurutnya, dalam tempoh masa lima bulan pertama ini, dia hanya menghantar hasil sebanyak satu kali sahaja memandangkan dia tidak sanggup menunggu wang hasil yang agak lambat dari pihak pengurusan Felda.

"Saya dah tua, jadi bila hantar hasil tentulah saya nak duit terus, bukan tunggu hari Khamis atau minggu akan datangnya.  Ini tahun pertama saya tak dapat duit raya Felda dan saya betul-betul hampa," katanya.

Manakala, bagi Jaafar Isnin, 64, pula, dia juga gagal menghantar hasil kepada Felda pada bulan Januari, namun pada bulan seterusnya hingga Mei, dia telah menghantar hasil kepada pihak terbabit.

"Saya ditahan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selama sehari akibat semput dan memerlukan wang segera untuk kos ulang alik bagi keluarga.

"Jadi saya terpaksa hantar hasil ke luar, tak sangka pula sebab gagal hantar hasil sebulan, saya tak layak dapat duit raya untuk pertama kali tahun ini, sedangkan insentif ni dah diumumkan kepada semua peneroka.  Persoalannya, mana duit tu pergi.

"Saya harap sangat agar kami seramai 37 peneroka ini layak menerima duit raya dari Felda dan bukannya disenaraikan tidak layak seperti ini,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas dari Pengurus Besar Wilayah Raja Alias, Pamuji Kemis tidak berjaya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu mengumumkan insentif duit raya sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM49.52 juta membabitkan 99,046 peneroka Felda di seluruh negara.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment