Remaja 13 Tahun Lapor Polis Rakan Rosak Bendera Parti

on Tuesday, 16 April 2013


IPOH: Meskipun usianya terlalu muda, namun sikap bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap keharmonian setempat, mendorong seorang remaja berusia 13 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian merosakkan bendera parti.

Jurucakap media pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kontinjen Perak Supt Maszely Minhad berkata dalam kejadian pada dua hari lepas, pengadu melaporkan kepada polis setelah melihat rakannya yang berusia 17 tahun mematahkan tiga batang bendera parti sebelum membuangnya ke hutan.

Katanya dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering pada pukul 11 malam itu, pengadu atas sifat keprihatinan dan tidak rela melihat rakannya mencabut dan membuang bendera parti, bertindak betul dengan melaporkan kepada polis.



"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan rakannya itu akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Maszely yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak berkata hingga pukul 12 malam tadi, polis Perak menerima sejumlah 82 laporan polis dan daripada jumlah itu sebanyak 13 kes dibuka kertas siasatan.




"Semalam (Isnin) sahaja kita menerima empat laporan berkaitan khianat dan dua kertas siasatan dibuka," katanya.

Beliau turut menasihatkan calon serta penyokong parti yang bertanding agar tidak terlalu fanatik sehingga cenderung melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Semua pihak diingatkan untuk tidak melakukan provokasi ke atas pihak lawan, tidak membangkitkan isu-isu sensitif seperti isu perkauman dan keagamaan ketika berkempen, tidak merosakkan dan melakukan khianat ke atas harta awam atau pihak lain atau sabotaj bilik gerakan," katanya.

Beliau berkata calon perlu berkempen secara matang serta berhemah dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan.

Sumber


PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                       


                        

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© AANS BLOG All Rights Reserved