Treler yang mempunyai pentas bergerak itu telah menjelajah ke kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi oleh PAS Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
PAS Negeri Sembilan tidak mengumumkan nama-nama calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen dan DUN yang PAS bertanding secara terbuka.
Tetapi dengan cara bakal calon diperkenalkan dengan teknik ‘soft introduction’ di atas pentas treler, adalah tidak sukar untuk meramalkan siapakah sebahagian besar calon-calon PAS yang akan bertanding di Negeri Sembilan.
Di setiap lokasi, calon-calon yang berpotensi diberikan peluang berucap di atas pentas treler.
Daripada pengamatan FMT, PAS Negeri Sembilan nampaknya sudah 90 peratus bersedia dengan calon-calon PRU mereka.
Kerusi DUN Labu yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2008, kali ini akan diwakili oleh PAS.
Dua nama yang hampir pasti menjadi calon PAS di Labu ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Wafa atau Yang DiPertua PAS Rasah, Anuar Azahari.
DUN Klawang di Jelebu pula bakal menyaksikan sama ada Timbalan Yang DiPertua PAS Jelebu, Nor Anif Selamat atau Naib Yang DiPertua PAS Jelebu, Saiful Jaaman.
DUN Paroi pula dijangka akan dipertahankan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob hampir pasti akan menjadi calon di DUN Chembong. Dr Rosli juga merupakan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.
PAS Negeri Sembilan dijangka akan menurunkan muka baru di Kota iaitu anak tempatan Ghazali Mat Som yang kini memegang jawatan Timbalan Yang DiPertua PAS Seremban.
Paroi, Chembong dan Kota merupakan kerusi DUN di bawah Parlimen Rembau.
Di DUN Johol, anak muda yang petah bercakap dengan elemen lawak jenaka iaitu Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Ustaz Norazman Mohamad bakal memberi saingan kepada calon Umno pada PRU-13 nanti.
Di DUN Senaling pula Yang DiPertua PAS Kuala Pilah, Zaharuddin Othman pula bakal mencabar calon Umno untuk kali kedua selepas PRU-12 dulu.
Johol dan Senaling merupakan kerusi DUN di dalam Parlimen Kuala Pilah.
FMT difahamkan Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Fazilah Abu Samah merupakan calon ‘standby’ untuk DUN Johol dan Senaling sekiranya berlaku perubahan saat-saat terakhir di peringkat PAS Pusat.
Walaubagaimanapun Fazilah yang juga berasal dari Kuala Pilah, dikatakan ‘endorsed’ Norazman dan Zaharuddin untuk bertanding di DUN Johol dan Senaling serta menyokong penuh pencalonan Norazman dan Zaharuddin di sana.
Yang DiPertua PAS Tampin, Zakaria Khalim pula dijangka akan dicalonkan untuk kali kedua di DUN Gemencheh di bawah Parlimen Tampin.
Yang DiPertua PAS Jempol, Abdul Rahman Ramli pula dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk dicalonkan di DUN Serting di dalam Parlimen Jempol. DUN Serting merupakan kerusi majoriti pengundi Felda dan Abdul Rahman sendiri merupakan seorang peneroka Felda di situ.
Yang DiPertua PAS Telok Kemang, Ramli Ismail pula bakal diturunkan bagi kali kedua di DUN Bagan Pinang di Telok Kemang sebagai saingan kepada calon Umno.
Walaubagaimanapun kerusi yang sangat dinanti-nantikan oleh ahli dan penyokong PAS di Negeri Sembilan ialah kerusi DUN Lenggeng.
Siapakah calon DUN Lenggeng hanya akan diputuskan oleh PAS Pusat menjelang beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
Dua nama yang bakal dipilih oleh PAS Pusat ialah sama ada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar atau Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman.
Tidak mustahil kejutan boleh berlaku di DUN Lenggeng seandainya PAS Pusat memilih calon ‘neutral’ sebagaimana yang dicadangkan oleh Pemuda PAS Seremban baru-baru ini.
Sumber
0 comments:
Post a Comment