yX Media - Monetize your website traffic with us

Wednesday 17 April 2013

Motosikal imam hilang selepas solat Maghrib, bacaan Yasin


PORT DICKSON – Sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda milik seorang imam di sebuah masjid di sini, lesap ketika beliau sedang mengimamkan solat Maghrib dan bacaan Yasin, malam Khamis lalu.

Imam 1 Masjid Jamek Pasir Panjang, Muhamad Noh Othman, 71, berkata, seperti kebiasaannya, dia akan datang sekitar 20 minit awal sebelum masuk waktu.

Menurutnya, beliau tiba di masjid sekitar jam 7 malam dan meletakkan motosikal berhampiran tangga yang menjadi laluan utama jemaah.





"Selepas itu, saya meletakkan kunci motosikal di salah satu tiang masjid yang mana jemaah lain turut meletakkan kunci kenderaan mereka.

"Ketika itu, ada dua hingga tiga kunci kenderaan jemaah diletakkan di situ dan kira-kira 10 jemaah melibatkan kariah di sini berada dalam masjid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.





Muhamad Noh berkata, selepas mengimamkan solat maghrib dan mengetuai bacaan Yasin, beliau tergerak hati untuk melihat kunci motosikal dan mendapatinya tiada.

“Saya terus keluar dan terkejut apabila motosikal turut hilang. Ketika itu, saya hanya bersangka baik mungkin ada orang yang meminjam motosikal itu.

“Kemudian saya kembali masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat Isyak. Selepas itu, beberapa jemaah membantu saya mencari motosikal di sekitar masjid dan ternyata ia memang hilang,” katanya.

Katanya, motosikal itu adalah pemberian anak-anaknya kira-kira setahun lalu.

“Sebelum ini, kawasan masjid tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian kecurian sama ada tabung masjid, harta benda dan sebagainya.

“Ini adalah kali pertama dan amat berharap ia adalah kali terakhir. Masjid adalah sebuah rumah ibadah yang menyatukan ummah, jangan sesekali membawa anasir buruk ke sini,” katanya.

Muhamad Noh kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang.

Sumber


PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment