SEREMBAN - Seorang pegawai polis dan keluarganya berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Taman Seremban Jaya, di sini ditembak bertalu-talu oleh dua lelaki, malam tadi.
Ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, pegawai polis berkenaan sedang tidur manakala isteri dan dua anaknya sedang menonton televisyen.
Jurucakap polis berkata, sebaik mendengar bunyi tembakan tersebut pegawai polis terbabit terjaga dari tidur dan terus menyelamatkan anak serta isterinya yang berada dalam keadaan ketakutan.
"Apabila tembakan itu berhenti anggota polis berkenaan terus meninjau di luar rumah dan melihat dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC melarikan diri," katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan polis menemui sembilan kelongsong peluru di hadapan rumah mangsa dan dipercayai pistol yang digunakan adalah jenis Walters 9 milimeter.
Katanya, tembakan rambang itu tidak mengenai mangsa dan keluarganya sebaliknya beberapa bahagian rumah seperti siling di ruang tamu dan pintu rumah mangsa.
"Kita syaki kejadian ini ada kaitan dengan satu ugutan yang diterima mangsa berhubung dengan satu tangkapan berkaitan dengan dadah baru-baru ini dan buat masa ini kita menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk memburu suspek yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Sumber
PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment