yX Media - Monetize your website traffic with us

Monday, 1 April 2013

Cerita Harimau Jadian dan Hantu di Kampung Lonek tidak benar

BATU KIKIR - Tindakan sebuah akhbar tabloid tempatan menyiarkan laporan kewujudan harimau jadian dan lembaga di kubur dekat Kampung Lonek, di sini, baru-baru ini mengundang rasa kesal siak Masjid Kampung Lonek.

Uda Baharin Buang, 60, terkejut dan kecewa kerana artikel seram berkenaan tidak benar, boleh mencetuskan rasa takut di kalangan penduduk kampung, sekaligus mencemar reputasi kampung sebagai imej inap desa.



Menurutnya, artikel berkenaan juga menyebabkan nama baiknya sebagai siak masjid tercemar kerana menyiarkan namanya sebagai orang yang ditemubual.

Sedangkan, katanya, wartawan daripada akhbar berkenaan tidak pernah menemubualnya berhubung berita yang ditulis, sebaliknya diwakilkan kepada orang lain.

“Penulis tidak pernah datang untuk menemu bual saya, tetapi suami dan anaknya yang datang ke sini.

"Namun, perbualan kami hanya tertumpu kepada tugas saya sebagai siak masjid," katanya.




Menurutnya, dia menyedari artikel berkenaan tersiar setelah diberitahu rakannya pada Rabu lalu sebelum dia cuba mendapatkan naskah akhbar terbabit.

“Apabila saya baca, saya tidak sangka pertemuan sebelum ini bertukar cerita berbentuk fitnah. Saya menafikan segala yang ditulis dalam artikel tersebut. Ia tidak benar dan fitnah semata-mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Berikutan kejadian itu, Uda Baharin membuat laporan di Balai Polis Bahau, dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, isteri Uda Baharin, Noryati Yusof, 54, berkata, pada artikel itu, penulis menyebut suaminya mengangkat seorang individu dikenali sebagai Pak Samad dari tanah perkuburan ke dalam masjid.

Katanya, kenyataan itu ternyata tidak masuk akal kerana mereka langsung tidak mengenali individu tersebut.

“Dengan keadaan kesihatan suami yang tidak berapa baik sekarang, tidak mungkin dia mampu mengangkat orang. Artikel itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap keluarga kami, selain kami rasa malu," katanya.

Sumber                                                  

Share:

0 comments:

Post a Comment