yX Media - Monetize your website traffic with us

Friday 10 June 2016

Proton sangkal dakwaan model kenderaannya akan rosak jika menggunakan ‘jump-start’



Akibat penyebaran notis (gambar di atas) yang kononnya dari sebuah pusat servis kenderaan di laman media sosial baru-baru ini, Proton telah mengeluarkan kenyataan balas mengenai perkara ini.

Menurut Proton, imej yang tersebar ini, yang mengesyorkan pengguna Proton untuk tidak melakukan sebarang tindakan bantu mula pada model-model Proton yang tertentu kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU), adalah tidak benar sama sekali. Sekali gus menegaskan, semua kereta boleh melalui tindakan bantu mula atau jump-start.

Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Justeru, syarikat pengeluar kenderaan nasional ini
ingin memberi panduan yang lebih tepat mengenai perkara ini dan untuk memberi jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel jump-start adalah selamat untuk menghidupkan enjin selagi berpandukan langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton.

Prosedur yang betul untuk melakukan jump-start kereta adalah dengan menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut.

Bagaimana untuk bantu mula kenderaan anda - BM

Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel jumper yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain :


  1. Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel jumper boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak menyentuh satu sama lain. Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini. Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
  2. Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan.
  3. Gunakan hanya kabel jumper dengan pengapit bateri berpenebat.
  4. Kenderaan mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) untuk transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) untuk transmisi manual.
  5. Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.
  6. Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup.
  7. Kabel jumper negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
  8. Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas.
  9. Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.


Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri. Proton sekali lagi menegaskan, syarikatnya sentiasa memastikan kereta-keretanya dikeluarkan mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan tidak menjejaskan keselamatan pelanggan.

Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan, bolehlah terus hubungi Talian Khidmat Pelanggan Proton di 1800 888 398 atau emel kepada customercare@proton.com.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment