PETALING JAYA: Kenapa nasi lemak menjadi makanan sihat dan sesuai untuk semua sehingga diiktiraf antara 10 makanan sihat oleh majalah antarabangsa baru-baru ini?
Menurut Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria, bahan yang digunakan dalam nasi lemak secara umumnya baik untuk kesihatan tubuh badan.
Katanya, nasi yang kita ketahui mempunyai ‘glycaemik index (GI) yang tinggi namun kadarnya boleh diturunkan apabila dicampur bersama santan.
Katanya, santan pula merupakan asid lemak yang dipanggil ‘asid laurik' iaitu lemak yang sama jenis dengan susu ibu dan dapat membantu perkembangan otak dan juga menguatkan tulang.
"Lemak dalam santan terdiri daripada asid lemak rantaian sederhana (MCFA). MCFA adalah asid lemak yang paling penting dalam membina dan mengekalkan sistem imun tubuh sama seperti lemak dalam susu susu ibu, selain itu santan juga membekalkan sumber ‘nutrisi' yang sangat baik bagi mereka yang sedang menjalani proses penurunan berat badan," katanya.
Dr Norzaidi menjelaskan, sambal yang terdapat di dalam nasi lemak yang diperbuat dengan cili api baik untuk menjadi agen penghalang kanser kerana ia mempunyai ‘antioksida' yang tinggi serta mampu mengaktifkan denyutan jantung dan merangsang peredaran darah dalam badan serta mengeluarkan gas daripada sistem pencernaan.
Sementara itu, kacang tanah pula mengandungi protein yang tinggi, zat besi, vitamin E dan kalsium vitamin B kompleks dan fosforus.
"Kandungan protein dalam kacang tanah adalah jauh lebih tinggi dari daging, telur dan kacang soya. Kacang tanah juga mengandungi asid amino yang tinggi, minyak dari kacang tanah juga adalah sumber terbaik pencuci perut.
"Sementara itu ikan bilis juga merupakan sumber kalsium, kalium, seleium dan vitamin A yang amat diperlukan badan," katanya.
Dr Norzaidi berkata, kebanyakkan orang menganggap memakan telur menyebabkan meningkatan kolestrol tetapi sebenarnya ‘choline' dan ‘phosphytidylcholine' dalam telur kuning boleh membantu mengelak longgokkan kolestrol dan lemak dalam hati serta pembuluh darah.
"Choline mampu membentuk ‘metabolite' yang juga dipanggil ‘betaine' dan berfungsi mengurangkan homocystin iaitu salah satu faktor penyebab serangan jantung," katanya.
Beliau berkata, timun yang dihidangkan di dalam nasi lemak juga membantu untuk menyejukkan badan, malah ketika cuaca panas sayuran itu amat bermanfaat membantu melegakan mata yang tertekan akibat panas terik.
"Potasium yang terdapat dalam timun menjadikannya sangat berguna untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah rendah. Timun juga mengandungi ‘erepsin' iaitu enzin yang membantu menghadamkan protein,"katanya.
Sehubungan itu, Dr Norzaidi berkata, rakyat negara ini perlu mengesyorkan kepada orang ramai baiknya nasi lemak terutmanya kepada mereka yang ingin mengamalkan diet yang seimbang dan sihat.
Malah beliau juga menyarankan rakyat negara ini supaya menjadikan nasi lemak sebagai santapan harian bersama keluarga dan rutin sarapan harian yang sihat.
PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment