Sinar Harian difahamkan, penduduk di kawasan perumahan ini sering berhadapan dengan kejadian pecah rumah selain beberapa kes ragut.
Salah seorang penduduk, P Manimala, 31, memberitahu pada 26 Mac lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, rumahnya dimasuki oleh tiga lelaki bersenjatakan parang.
Katanya, pada kejadian tersebut, dia dan tiga anaknya sedang tidur sebelum mendengar bunyi pelik di bahagian belakang rumah.
“Sewaktu kejadian, hujan turun sangat lebat, dan ketika saya pergi ke bilik sembahyang, saya didatangi seorang lelaki yang bersenjatakan parang dan mengarahkan saya supaya senyap serta tidak membuat bising.
“Sebaik sahaja saya dibawa ke ruang tamu, saya dapati dua lelaki telah memegang adik dan dua anak dengan mengacukan parang di leher mereka.
“Menurut pencuri berkenaan, kalau saya bising, anak saya akan dicederakan. Kemudian mereka bawa lari beberapa barang kemas, termasuk rantai dan juga telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Tambahnya, dia yang telah kematian suami sejak empat tahun lalu, bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, walau pun sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang berlaku lima hari lalu.
Sementara itu, bagi M Neerukumala Dewi, 52, ketika ditemui berkata, pada bulan September tahun lalu, dia mengalami kerugian lebih RM15,000 berikutan rantai emas yang dipakainya diragut oleh individu yang tidak dikenali.
Katanya, kejadian berlaku sewaktu dia yang sedang duduk di depan rumah, didatangi seorang lelaki dengan menaiki kereta jenis Myvi, ingin bertanyakan alamat rumah.
“Semasa saya sedang duduk, datang seorang lelaki yang kononnya ingin bertanyakan alamat rumah kepada saya. Namun sebaik sahaja saya menghampirinya, lelaki itu mengacukan pisau ke leher, namun saya sempat bergelut dengannya sebelum belakang badan saya ditoreh dengan pisau.
“Disebabkan itu, belakang badan saya terpaksa dijahit berikutan mengalami luka ringan,” katanya.
Katanya, sehingga kini dia masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian yang berlaku itu, serta berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan program cegah jenayah di kawasan perumahan mereka dengan lebih berkesan.
Manakala, bagi Leong Yong Leng, 19, pula, rumahnya sehingga kini sudah tiga kali dipecah masuk dan mengalami kerugian melebihi RM3,000.
Katanya, kejadian berlaku sejak tahun lalu, di mana pada waktu itu hanya duit dan beberapa barang hantaran perkahwinan kakaknya hilang.
“Tetapi pada 20 Mac lalu, lebih kurang jam 2 pagi, sekali lagi rumah saya dimasuki pencuri dan mereka berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM1,500.
“Berikutan kejadian itu, saya telah membuat laporan polis di Balai Mambau pada hari yang sama,” katanya.
Sumber
0 comments:
Post a Comment