yX Media - Monetize your website traffic with us

Sunday, 31 March 2013

Lihat kakak tertusuk besi lori

Seremban: Seorang wanita mengalami detik mengerikan apabila melihat kakak kandungnya maut dalam keadaan tragik selepas lehernya tertusuk sebatang besi yang terjatuh daripada lori yang berselisih dengan kereta dinaiki mereka di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 10.45 pagi, V Inthirani, 50, maut di tempat kejadian selepas lehernya cedera parah ditusuk besi sepanjang setengah meter.

Adik mangsa, V Thilaga, 32, berkata, ketika kejadian dia bersama kakaknya yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari Rantau menuju ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati, di sini, dengan jarak hanya satu kilometer dari lokasi kejadian.



Katanya, sampai di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan tanpa muatan.

“Sebaik berselisih dengan lori itu, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting sebelum ia terus menembusi cermin depan kereta yang kami naiki.



“Dalam sekelip mata, kereta kami terus berpusing sebelum berhenti di tepi jalan dan apabila saya menoleh ke tepi, saya lihat kakak dalam berlumuran darah sambil memegang besi yang terpacak di lehernya,’’ katanya yang ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Melihat keadaan kakaknya yang nazak, Thilaga menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang membantu.

“Bagaimanapun, selang beberapa minit, saya lihat kakak saya kaku dan saya hanya mampu menangis apabila orang ramai yang membantu, memaklumkan dia tidak lagi bernyawa,’’ katanya sedih.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Buat masa ini kita mengesan lori terbabit dan sesiapa yang melihat kejadian itu boleh menghubungi kami untuk membantu siasatan,’’ katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Sumber                                                  

Share:

0 comments:

Post a Comment