yX Media - Monetize your website traffic with us

Wednesday 5 October 2016

‘Calon MB ganti Tok Mat mesti orang Melayu’ - DAP Negeri Sembilan



SEREMBAN - Pembangkang di negeri ini tidak mahu mengulangi kesilapan pada PRU13 lalu apabila tidak membuat persiapan sebaiknya termasuk tidak mempunyai nama calon menteri besar yang sesuai sekiranya menang.

Ketua Pembangkang Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke sehubungan itu menyarankan kepada rakan parti dalam Pakatan Harapan supaya memilih dan mengumumkan calon menteri besar daripada parti masing-masing menjelang PRU14 untuk mengelakkan kesulitan.

Beliau berkata, pada PRU13 lalu, parti pembangkang di negeri ini tidak membuat persiapan rapi apabila masih mempunyai masalah calon, tiada hala tuju yang jelas, malah tidak pasti siapa calon menteri besar seandainya mereka menjadi kerajaan negeri.

“Bagi hadapi PRU14, saya cadangkan kita ambil pendekatan lebih berani dan agresif serta memberi komitmen untuk tonjolkan calon MB (menteri besar) Pakatan Harapan sebelum pilihan raya diumumkan,” katanya.

Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut menegaskan DAP akan menjunjung perlembagaan negeri iaitu memilih menteri besar dalam kalangan orang Melayu dan beragama Islam.

“Kita menang sahaja di Negeri Sembilan, wajibnya kita akan lantik calon menteri besar Melayu dan beragama Islam kerana itulah syarat dalam perlembangaan negeri dan kita menghormatinya," katanya menerusi ucapan dasarnya di Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-19 di sini, semalam.

Loke turut berharap perkara itu dapat dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Pakatan Harapan yang dijadual diadakan pada 15 Oktober ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, menjadi misi DAP negeri untuk mempertahankan dua parlimen dan 11 kerusi Dun yang dimenangi lalu, sekali gus membantu PKR dan Amanah memenangi lebih banyak kerusi pada PRU14.

“Kita bukan sekadar nak pastikan kejayaan kepada DAP, tapi turut mengambil tanggungjawab sumbang sekurang-kurangnya 11 kerusi kepada Pakatan Harapan.

“Tapi kalau hanya DAP ada 11 kerusi, misi mengambil alih kerajaan tidak akan berjaya kerana kita tak harap untuk bentuk kerajaan hanya dengan 19 kerusi, kerana itu tidak stabil. Kita perlu sasar 22 kerusi,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui misi tersebut bukan mudah kerana persempadanan semula dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara jelasnya menguntungkan BN.

Malah, katanya,  BN akan menggunakan pelbagai taktik untuk menakutkan orang Melayu supaya tidak menyokong dan mengundi Pakatan Harapan dengan mengatakan DAP akan berkuasa jika menang.

“Kononya jika Pakatan Harapan menang, DAP berkuasa, orang bukan Melayu khususnya orang Cina akan merampas kuasa orang Melayu dan saya jadi MB Negeri Sembilan. Ini semua adalah helah politik mereka,” katanya.

Hadir sama pada konvensyen berkenaan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng;  Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Pengerusi Amanah negeri, Zulkefly Mohd Omar.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment