yX Media - Monetize your website traffic with us

Tuesday 9 August 2016

Tok Mat cadang komuter ke Port Dickson



SEREMBAN - Kerajaan negeri bercadang menghidupkan semula perkhidmatan kereta api dari bandar Seremban ke bandar Port Dickson dalam bentuk komuter.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rancangan tersebut dijangka dilaksanakan tahun depan atau dua tahun dari sekarang.

“Kita sudah tetapkan empat lokasi sebagai stesen. Pertama melibatkan stesen sedia ada di Seremban dan seterusnya stesen komuter baru di pekan Mambau.

“Lokasi ketiga di Kampung Stesen, pekan Kuala Sawah. Kemudian masuk (laluan) estet dan keluar di stesen Taman PD Utama, sebelum sampai ke Port Dickson,” katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan kereta api berkenaan bakal menggunakan landasan sedia ada.

“Jadi kita bukan setakat buat jalan kereta api barang saja, tapi juga kereta api untuk mengangkut penumpang,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar anjuran Surau dan Sekolah Agama Rakyat Darul Raudhah, Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengetuanya, Abd Latif Mohd Yunus dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad.

Untuk rekod, landasan kereta api Seremban-Port Dickson sepanjang kira-kira 38 kilometer itu siap dibina pada 1891 oleh Sungei Ujong (Malay Peninsula) Railway Company Ltd menerusi kontraktor Messers Hill and Rathborne.

Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kemudian membeli landasan terbabit daripada syarikat berkenaan pada 1908.

Kali terakhir landasan penuh bersejarah itu digunakan ialah pada tahun 2008.

Sumber

PERINGATAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.                        

                        

Share:

0 comments:

Post a Comment